Keadaaan Malaysia pasca PRU12 tampak begitu tidak stabil. Kemenangan pembangkang di 4 negeri, berjaya mempertahankan Kelantan dan berjaya menafikan majoriti 2/3 BN di parlimen memberi satu anjakan paradigma kepada suasana politik semasa negara. Tanggal 9hb Mac 2008, dapat dilihat di dada-dada akhbar menceritakan tentang suasana politik semasa negara. Keadaan ini sebenarnya semakin mencemaskan dari semasa ke semasa. Ini mendorong saya menulis surat secara terbuka ini kepada Tun Dr Mahathir dan Datuk Seri Abdullah.
Secara peribadi,saya merasa bahawa tindakan Dr M mendesak Pak Lah berundur ketika ini akan menyumbang kepada kekacauan dan ketidakstabilan keadaan politik semasa. Apabila keadaan politik tidak stabil, ini akan menyebabkan keadaan ekonomi negara juga turut menjadi kelam-kabut.
Lihat saja dalam tempoh lebih kurang seminggu selepas PRU12, keadaan di Bursa Malaysia tidak begitu memberangsangkan. Lihat kepada jiran kita iaitu Indonesia. Bagaimana keadaan ekonomi dan politik negara tersebut selepas Allahyarham Suharto meletak jawatan atas desakan pemimpin rakyat ketika itu? Sehingga kini keadaan di Indonesia tidak pulih seperti sedia kala.
Memang benar, Pak Lah perlu bertanggungjawab keatas kekalahan teruk BN tetapi bukanlah dengan meletak jawatan serta-merta. Tindakan Dr M yang menekan Pak Lah, satu tindakan tidak wajar. Secara peribadi, saya selaku anak muda berharap Pak Lah perlu meneruskan kepimpinan pada masa ini. Dan untuk mengelakkan kehancuran UMNO dan BN pada PRU13, Pak Lah harus meletak jawatan pada akhir penggal pemerintahan ini.
Walaubagaimanapun, semua bantahan, kritikan dan teguran Dr M ada asasnya. Kepada barisan kabinet yang baru dilantik serta ahli UMNO pelbagai peringkat, tidak harus menolok semua teguran Dr M. Seharusnya UMNO dan kabinet perlu meneliti sedalam-dalamnya segala teguran Dr M itu. Budaya ”Yes Man” yang dikatakan Dr M, harus dihapuskan. Yang benar kata benar dan yang salah perlu diakui salah.
Umum mengenali Dr M tentang kelantangannya menyuarakan pendapat. Beliau pernah menegur kepimpinan Tunku Abdul Rahman. Dunia juga turut mengenali Dr M kerana dengan lantang dan keras mengkritik Amerika Syarikat. Dunia Islam juga turut mengakui dan mengagumi Dr M atas kelantangannya bersuara. Masyarakat dunia juga inginkan kepintaran Dr M. Jadi kenapa kita menyalah dan menolak semua teguran Dr M? Saya secara peribadi, mengagumi Dr M dan berbangga kerana saya dilahirkan dan dibesarkan di zaman kepimpinan Dr M.
Kesimpulannya, Pak Lah harus memanggil kesemua pemimpin komponen BN termasuk kerajaannya, duduk semeja berbincang dengan Dr M. Begitu juga dengan UMNO, Dr M saya lihat sebagai Bapa UMNO dan BN (ketika ini). Jika sesebuah keluarga mengalami masalah diantara ahlinya, bapalah sebagai tempat mengadu dan bapa jugalah akan memberi nasihat untuk memulihkan sesebuah institusi keluarga itu sendiri. Selesaikan semua perkara yang berbangkit agar BN dan UMNO akan kembali mendapat tempat di hati rakyat terutama anak muda yang majoritinya memilih Dr M barbanding Pak Lah.
Selaku seorang anak muda, saya melihat Dr M dan Pak Lah sebagai bapa saya. Oleh itu, saya tidak mahu bapa-bapa saya terus bercakaran sehingga anak seperti saya terabai. Fikirkanlah...
- amer abd raman -