Friday, September 12, 2008

Sesama Insan


Malaysia sudah mencapai umur kemerdekaannya ke-51 pada 31 Ogos 2008 yang lalu.
Sudah 51 tahun kita sebagai rakyat Malaysia mengecap keselesaan dan kemakmuran.
Dalam tempoh itu juga, Malaysia sudah melalui pelbagai pahit getir hidup di bawah penjajahan.
Akan tetapi, aku berasa amat hairan dan duka cita melihat bangsa aku masih dijajah akal pemikirannya.

Benar seperti kata Tun Dr. Mahathir, "Melayu Mudah Lupa..."
Pada zaman serba maju dan moden ini, masih ramai dikalangan bangsa Melayu masih lupa akan asal usul mereka.
Dahulunya, mereka seorang yang tidak mempunyai apa-apa ; ilmu, kedudukan, harta, mahupun pangkat.
Mereka masih mentah dan tidak mengetahui apa-apa.

Tetapi apabila mereka sudah mempunyai ilmu yang diibaratkan seperti setitik daripada seluas lautan, mereka khilaf dan alpa.
Mereka dengan sewenang-wenangnya menghina dan memandang rendah pada orang lain.
Langsung tidak memberikan ruang kepada orang lain untuk membela diri dan menceritakan tentang diri sendiri.
Mereka dengan angkuh menafikan hak seorang yang bernama manusia.
Mereka ini sebenarnya masih dibelenggu dengan pemikiran kuno dan tidak merdeka.

Mereka merasakan segala yang mereka kecapi hari ini adalah dari hasil titik peluh mereka.
Mereka merasakan diri mereka lebih baik dari orang lain hasil daripada pengalaman yang kononnya mengajar mereka.
Memang benar seperti apa yang dikatakan, tetapi itu hanyalah secara lahiriahnya sahaja.
Tanpa bantuan, mereka tidak mungkin dapat mencapai semua itu.
Mereka tidak mungkin akan mendapat ilmu, mempunyai kedudukan yang tinggi, mengumpul harta yang banyak, dan mempunyai pangkat yang besar.

Tanpa mereka sedari atau tidak, kesemua yang mereka kecapi pada hari ini adalah pinjaman dan kurnia dari Allah s.w.t..
Tidak sedarkah mereka, apabila Allah s.w.t. mengatakan "Kun Faya Kun", maka kesemuanya akan hilang?
Tidakkah mereka sedar, sebesar-besar rumah yang telah mereka bina itu bermula dengan sekecil bata dan boleh hilang dalam sekelip mata?
Mereka bukan sahaja angkuh dan bongkak tetapi mereka lupa, sama ada kaya atau miskin, besar atau kecil, berilmu atau tidak, kita ini hanyalah hamba-Nya.

Pada aku, orang yang tidak tahu menghormati orang lain, mereka tidak layak dihormati.
Mereka ini tidak ada bezanya dengan haiwan ; mempunyai otak tetapi tidak mempunyai akal fikiran.
Dan kepada mereka, ingatlah, tidak ada gunanya menghina orang lain kerana kita tidak cukup sempurna.
Dan mungkin kita lebih hina dari orang tersebut.
Jika kita seorang Islam dan bekerja di organisasi yang mengamalkan Islam (hadis dan sunnah) sebagai pegangan perniagaannya, jangan kini merosakkan istilah 'ISLAM' itu sendiri.

Ingatlah, jikalau kita tidak berbuat baik maka janganlah pula kita membuat dosa.
Perkara baik yang kita buat walau sebesar zarah sekalipun, tetap akan mendapat balasan. Manakala, perkara buruk yang dilakukan walau sebesar zarah sekalipun, juga tetap akan mendapat balasan.

Wallahualam...