Monday, October 20, 2008
Cinta
Cinta…
Ada apa dengan cinta?
Apakah maksudnya cinta?
Adakah bercumbu-cumbuan dan berpeluk-pelukan di khalayak maksudnya cinta?
Adakah berpegangan tangan akan terasa nikmatnya cinta yang kononnya cinta suci?
Cinta merupakan satu perasaan yang amat sukar digambarkan. Ianya wujud di setiap makhluk ciptaan Allah. Cinta tidak dapat diungkap dengan hanya kata-kata. Ianya juga tidak dapat disentuh tetapi ia dapat dirasai.
Kita mempunyai pelbagai ungkapan tersendiri tentang cinta. Cinta kepada Allah merupakan cinta yang hakiki. Cinta kepada ibu bapa, cinta yang abadi. Cinta kepada sahabat, cinta yang sempurna. Cinta kepada alam, cinta yang indah. Cinta kepada kekasih merupakan satu anugerah yang terindah.
Cinta yang sebenarnya adalah 'Mahabbah' yang bermaksud perasaan kasih sayang yang sukar diterjemahkan. Cinta merupakan satu gelodak rasa dan emosi yang lahir daripada hati nurani yang luhur dan suci. Tidak boleh dipaksa serta dibeli dengan wang ringgit. Dalam tasawuf, 'Mahabbah' membawa erti patuh kepada Allah dan membenci perbuatan yang menyalahi perintah-Nya.
Tentang cinta-mencintai ini, Allah berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud:-
"Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah cintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya" (Al-Maidah, ayat 54)
"Jika kamu benar-benar mencintai Allah, ikutilah Aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosamu" (Al-Imran, ayat 31)
Bercerita tentang cinta kepada kekasih, tanya kepada diri kita. Adakah kita benar-benar mencintai kekasih kita? Jika jawapannya ia, mengapa kita sering meragui pasangan kita? Dan jika kita mencintai pasangan kita sepenuh jiwa, mengapakah kita menghalang kehendak hatinya?
Ada individu yang meragui kekasih mereka. Sehingga kekasih mereka ingin keluar rumah pun mereka berasa ragu-ragu. Ada pula yang sanggup memberikan segala-galanya kepada kekasih mereka tanpa memikirkan halal dan haram.
Jelas suatu pendustaan sekiranya seorang lelaki berkata dia benar-benar mencintai seseorang perempuan sedangkan pada masa yang sama mencemarkan maruah, kesucian dan iman temannya. Diakah yang diharapkan menjadi teman melayari bahtera kehidupan untuk sama-sama mendarat di pulau impian? Lelaki yg benar-benar mencintai pasangannya tidak akan mencemarkan kekasihnya walau sekadar bersentuhan sabagai bukti cinta.
Baru-baru ini kita digemparkan dengan kejadian yang menimpa seorang bayi perempuan yang malang di Terengganu. Demi cinta, sanggup manusia yang dikurniakan akal fikiran membunuh bayi hasil dari satu perhubungan yang mesra. Lebih menyayat hati, bayi tersebut dilaporkan mati akibat sesak nafas. Dimanakah letaknya kewarasan akal ibu dan bapa bayi tersebut? Kenapakah manusia dewasa ini bersifat lebih hina dari binatang?
Siapakah yang bersalah? Ibu dan bapakah yang bersalah kerana kurang mendidik anak mereka? Jawapannya tidak. Diri kita sendiri yang bersalah. Kerana kerapuhan iman dan ketidakwarasan dalam berfikir. Terlalu mengikut nafsu dan tidak memikirkan akibatnya.
Oleh itu, berfikir dahulu sebelum memulakan percintaan. Cintailah yang Maha Mencintai kerana cinta itulah yang paling suci. Ingatlah cinta Rabiatul Adawiyah kepada-Nya. Melebihi cinta duniawi yang penuh kepura-puraan. Fikir-fikirkan.
“Akan ku serah cinta ini,
Bukan hanya pada kekasih,
Kerana cinta sepasang kekasih,
Tanpa sebarang ikatan berlandaskan syarak,
Bersalut segunung kepalsuan dan kepuraan.”
Wallahualam…