Monday, October 6, 2008

Hentikan Perbalahan

Beberapa hari kebelakangan ini Malaysia kecoh di sana-sini. Baik di pejabat, kolej, sekolah, bahkan kedai kopi, rakyat sibuk membincangkan tentang keadaan politik semasa negara. Secara sedar atau tidak, kita telah banyak membuang masa membicarakan tentang politik. Secara peribadi, perbincangan politik perlu tetapi bukan setiap masa sehingga kita lupa kepada tanggungjawab kita baik kepada pemimpin mahupun rakyat. Semua kerja tertangguh dan menjadikan pergerakan ekonomi menjadi lembab, ditambah pula dengan berita Lehmann Brothers yang muflis. Ini akan memberikan kesan yang amat buruk kepada situasi ekonomi negara jika ia tidak dibendung.

Saya secara peribadi amat menyokong UMNO dan Barisan Nasional dengan alasan yang cukup mudah ; matlamat perjuangan yang jelas dan telah banyak berjasa membangunkan rakyat dan Malaysia. Walaupun saya kurang bersetuju dengan kepimpinan negara ketika ini, tetapi saya melihat Datuk Seri Abdullah tetap mempunyai kredibiliti sebagai pemimpin. Datuk Seri Abdullah telah mencuba sedaya yang mungkin untuk terus meletakkan Malaysia di landasan yang betul seperti era Tun Dr Mahathir. Akan tetapi nasib tidak menyebelahi beliau.

Semua manusia tidak sempurna. Sama seperti kita, Datuk Seri Abdullah juga seorang manusia biasa. Akan tetapi, saya melihat pandangan dan dasar beliau sebagai Perdana Menteri, banyak memberikan kelebihan kepada semua masyarakat tidak kira kaum. Koridor Pembangunan banyak memberikan manfaat kepada rakyat khususnya di luar Lembah Klang. Jadi jika dilaksanakan dengan sebaik mungkin, kemajuan Malaysia tidak tertumpu hanya di Pantai Barat sahaja tetapi meliputi seluruh Malaysia ; dari Perlis sampai ke Sabah.

Dasar Bumi Hijau yang dikatakan seakan seperti idea lapuk sebenarnya telah banyak memberi manfaat dan kebaikan kepada rakyat khususnya golongan usahawan tani. Sepanjang era Tun Dr Mahathir, beliau mempunyai idea yang amat bernas. Beliau pencetus ekonomi berasaskan industri berat seperti pembuatan. Dasar Tun Dr Mahathir sehingga kini masih berjalan dan akan terus berjalan. Buktinya, Proton dan Perodua yang semakin hari semakin mencipta nama. Pada pendapat saya, dasar yang diutarakan Datuk Seri Abdullah mengimbangi dasar yang diwujudkan oleh Tun Dr Mahathir. Kesempurnaan jelas terlihat. Tun Dr Mahathir memacu Malaysia kearah pemodenan manakala Datuk Seri Abdullah mengimbangi pemacuan itu dengan pengisian yang agak bermakna. Hasilnya, industri berat ilham Tun Dr Mahathir memberi rezeki kepada berjuta lepasan diploma dan ijazah. Dasar Datuk Seri Abdullah pula memberi rezeki kepada golongan miskin dan sederhana dengan program tani beliau. Sehingga kini, banyak usahawan tani yang berjaya.

Secara kita sedar atau tidak, kesemua pemimpin kita meneruskan kesinambungan dari satu pemimpin kepada satu pemimpin. Tunku berjaya memerdekakan tanah air. Selepas merdeka, Malaysia memerlukan pembangunan dan Tun Razak berjaya dengan misi ini. Apabila pembangunan berlaku dengan pesat, kita perlu sedar ikatan perpaduan diantara rakyat perlu diperkukuhkan. Ketika inilah Tun Hussein menyatukan rakyat dengan memperkukuhkan ekonomi rakyat pelbagai kaum. Apabila sudah melalui proses kemerdekaan, pembangunan, dan ikatan perpaduan yang sempurna, ketika ini kita memerlukan kemajuan dan pemodenan sekaligus meletakkan Malaysia berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara maju lain. Tun Dr Mahathir muncul dengan membawa perubahan 100% kepada Malaysia. Di zaman Tun Dr Mahathir, beliau mengejutkan rakyat dari tidur dan memberikan rakyat ‘tongkat’ untuk berdiri. Ketika ini rakyat mula belajar bertatih. Tun Dr Mahathir melepaskan rakyat ketika rakyat sudah boleh berlari laju. Dan pada ketika inilah muncul Datuk Seri Abdullah. Semasa rakyat rancak berlari, beliau menyedarkan rakyat ; ada mereka yang tertinggal di belakang. Mereka yang tidak bernasib baik. Dan pada hari ini, rakyat Malaysia boleh berlari bersama-sama secara beriringan dan tiada seorang pun yang tertinggal dibelakang (kecuali mereka yang tidak bersyukur dan malas).

Secara peribadi, saya berpendapat Datuk Seri Najib dapat menokok tambah kekurangan yang tidak disedari oleh Datuk Seri Abdullah. Saya juga yakin dan amat percaya, Datuk Seri Najib dapat meneruskan kesinambungan kepimpinan negara selama ini. Akan tetapi, seperti juga kita baru masuk ke pusat pengajian tinggi, kita akan melalui minggu orientasi. Ia bertujuan untuk mendedahkan secara khusus tugas dan peranan seorang pelajar. Begitu juga Datuk Seri Najib, beliau perlukan ‘minggu orientasi’ dengan fasilitatornya iaitu Datuk Seri Abdullah. Berikan sedikit ruang dan peluang untuk Datuk Seri Najib melalui ‘minggu orientasi’ ini sebelum mengambil alih jawatan Perdana Menteri. Begitu juga Datuk Seri Abdullah, berikan beliau ruang untuk memberi tunjuk ajar kepada penggantinya serta membaiki kesilapan beliau.

Jangan kita mudah termakan dengan cakap-cakap orang yang secara mereka sedar atau tidak, mereka sebenarnya mewujudkan satu keadaan yang amat buruk kepada Malaysia. Sejarah membuktikan, tiada satu pun kerajaan yang wujud hasil dari rampasan kuasa akan kekal. Lihat seperti Pakistan dan Thailand. Akibat dari episod rampasan kuasa, keadaan negara tersebut masih kucar-kacir sehingga kini. Apabila politik domestik tidak stabil, ini akan menakutkan pelabur untuk melabur. Kesannya, ekonomi negara tidak kukuh dan mengalami kelembapan. Ekonomi merupakan nadi untuk pembangunan yang berterusan. Saya secara peribadi tidak mahu keadaan negara kucar-kacir. Ini akan menampakkan masa depan Malaysia menjadi kabur. Jika kita hari ini hidup selesa, pastinya kita tidak mahu anak cucu kita hidup dalam ketakutan dan kesempitan. Apa yang perlu dilakukan kini, kembali menunaikan kewajipan dan hentikan segala pergaduhan. Mengapakah manusia perlu bergaduh sesama sendiri sedangkan kewujudan manusia itu hasil dari satu kemesraan? Fikir-fikirkan.

Wallahualam…