Monday, October 6, 2008
Kerja La Kerja 3
Kenapa manusia perlu bekerja? Hanya ada satu jawapan, rezeki tidak datang bergolek. Kita perlu berusaha mencari rezeki tersebut. Sebenarnya, rezeki kita ini adalah ketentuan-Nya, dan bukanlah kerja kita untuk mencampuri tugas-Nya.
Hampir genap sebulan aku tidak bekerja. Ya, aku seorang penganggur. Sebelum ini aku mempunyai satu pekerjaan yang agak kukuh tetapi aku khilaf. Aku berhenti kerana terlalu mengikut nafsu, tidak sabar, dan tidak mensyukuri nikmat-Nya.
Tetapi aku terima semua itu. Mungkin sudah tertulis jalan hidup aku sedemikian rupa. Seperti yang aku katakan sebelum ini, kita hanya ‘pelakon’ di dalam sebuah filem yang terlalu panjang jalan penceritaannya.
“Setiap yang berlaku ada sesuatu hikmah yang tersembunyi.”
Sebagai seorang yang mengakui beriman kepada-Nya, aku percaya, semua yang berlaku ada hikmah disebaliknya. Waktu ini, aku merasai sesuatu keperitan yang masih lagi aku dapat menanggungnya kerana Allah tidak akan menguji hamba-Nya dengan cubaan yang tidak dapat dipikul oleh hamba-Nya.
Yang pasti hari esok dan masa depan masih lagi di alam ghaib yang tiada seorang pun mengetahuinya. Mungkin hari ini aku dihina dan dipandang rendah oleh orang lain kerana aku seorang penganggur. Tetapi siapa yang tahu nasib mereka esok?
Oleh itu, beringatlah dan syukurilah nikmat yang anda perolehi hari ini. Dan jangan sesekali kita bongkak dan alpa dengan nikmat yang kita perolehi hari ini. Hidup kita ini seperti roda, sekejap di bawah dan sekejap di atas. Dan kadang-kala ianya boleh bertukar seperti yoyo ; terlalu lama di bawah dan sekejap sahaja di atas.
Wallahualam…